Saturday

Hudud , Apa Kisah Disebaliknya ?

Assalammualaikum warahmatullah, alhamdulillah sekali lagi dapat menulis di ruangan ini.
Alhamdulillah , Allah membuka minda ini untuk membuka perbincangan mengenai hudud. Apa itu hudud?
Menurut Imam Nawawi di dalam bukunya iaitu hadith 40, beliau menjelaskan bahawa hudud ini adalah pembatasan hukum yang dilarang untuk melampaui daripadanya dengan melakukan sesuatu yang menyalahinya atau berbuat sesuatu yang dilarang.

Hudud juga bermaksud hukuman seksaan yang telah ditetapkan Allah s.w.t untuk mencegah maksiat daripada berleluasa. Menurut istilah fuqaha' (ulama fiqh) hukum ini disebut sebagai hukuman had . Sebagai contoh had hukuman bagi :

  1. zina : rejam 
  2. mencuri : potong tangan 
  3. minum arak : sebat
Hukuman yang diberikan , hendaklah mengikut kadar yang ditetapkan pada asalnya dan tidak boleh dilampaui.

Mengapa hudud tidak dilaksanakan di negara kita? Sedangkan negara kita adalah negara Islam? Pertanyaan ini ditujukan buat semua pemikir , terutamanya yang benar-benar mendukung akan hukum Islam.
Apabila ditanya , seorang ini memberikan pendapatnya .

*********************************************************************************
hukum hudud apabila dilaksanakan akan membawa beberapa kesan buruk terutamanya untuk kerja dakwah. 
cuba bayangkan apabila hudud ini dilaksanakan di negara kita. kesannya adalah :

  1. kita akan di cop sebagai agama yang kejam.
  2. orang bukan Islam akan takut untuk memeluk agama Islam
  3. orang Islam akan murtad
  4. dakwah 'tidak masuk'
  5. Islam agama yang menindas
  6. Ibadah dalam keadaan yang tidak sempurna
  7. pekerja yang tidak sempurna
  8. pekerja yang menganggur
  9. peminta sedekah
  10. ekonomi mundur
Itu adalah pendapat bagi seorang yang memandang pada keadaan sekarang , katanya hukum hudud itu apabila dilaksanakan pada masa sekarang ianya tidak sesuai. bagi pendapat seorang yang menyokong hukum hudud pula adalah :
  1. apabila hukum dilaksanakan ini menunjukkan tentang kepatuhan muslim terhadap perintah Allah S.W.T . Allah berfirman dalam surah al-baqarah : 178 'wahai orang yang beriman , diwajibkan ke atas kamu qisas dalam pembunuhan , merdeka dengan merdeka , hamba dengan hamba , perempuan dengan perempuan . barangsiapa diberi kemaafan akan saudaranya ke atas sesuatu , maka hendaklah dia mengikut dia mengikut secara yang baik (makruf) dan membayar (diat) kepada saudaranya itu dengan baik . demikian itu satu keringanan dari Tuhanmu dan rahmat-Nya . barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu , maka untuknya seksaan yang pedih.
  2. menunjukkan ketegasan hukum Islam . 'untuk orang-orang yang yang memenuhi Tuhannya, (disediakan) kebaikan . dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan Tuhannya , sekiranya apa yang ada di bumi semuanya kepunyaan   mereka dan ditambah dengan apa yang seumpamanya , nescaya mereka akan menebus diri dengan kekayaan itu .Untuk mereka hisab yang keras dan tempat mereka di dalam neraka jahanam dan itulah sejahat-jahat tempat kediaman . ar-rad : 18. Ayat tersebut menegaskan bahawa barang siapa yang memenuhi tuntutan dan juga seruan Allah yakni hukumannya maka akan disediakan kebaikan buat mereka , tidakkah itu cukup buat kita untuk melaksanakan hukum Allah?
  3. Allah telah menegaskan , 'Dan kami telah menetapkan mereka Taurat , bahawa sesungguhnya jiwa dibalas jiwa , mata dengan mata , hidung dengan hidung , telinga dengan telinga , gigi dengan gigi , dan luka juga ada qisasnya . Barangsiapa yang tidak menghukum mengikut apa yang diturunkan Allah , maka mereka itu orang yang zalim.' Sudah jelas Allah menerangkan bahawa andainya hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah bercanggahan dengan hukum Allah pelaksana hukuman akan dicop sebagai orang yang zalim. 
  4. Peringatan buat umat Islam. ''Hanya orang yang berakal akan menerima peringatan .'' az-zumar: 9. Seandainya setiap umat Islam dan orang yang berakal menggunakan akal yang telah dikurniakan pasti mereka tidak membantah akan hukuman yang dikenakan . Pasti mereka menjadikan peristinwa itu sebagai pengajaran buat mereka. Ayuh kita kembali ke zaman sahabat baginda Rasulullah s.a.w iaitu zaman khalifah Umar , Sayidina Umar menghukum orang yang meminum arak dengan 80 kali sebatan , sedangkan di zaman Rasulullah s.a.w ndan sayidina Abu Bakar hukuman yang dilaksanakan sebanyak 40 kali sahaja. Namun demikian , hukuman itu bersesuaian dengan zaman pemerintahannya dimana terlalu ramai peminum arak ,sekiranya hukuman tidak diberatkan keadaan itu pasti tidak akan terkawal. Begitu juga keadaan di negara kita , seandainya hukuman seperti ini dilaksanakan pasti keadaan jenayah akan terkawal. Buat mereka yang dijatuhkan hukuman pasti akan menyesal dan tidak sanggup untuk melakukan kesalahan sekali lagi kerana hukuman yang diberikan kepada mereka.
  5. Adil. Islam adalah agama yang syumul , agama yang merangkumi kehidupan penganutnya. Seandainya penganut yang lain mengatakan agama ini adalah agama yang menindas , ayuh kita renungkan kalam Allah ''Katakanlah ! Sesungguhnya tuhanku mengharamkan segala kejahatan yang zahirnya dan yang batinnya dan dosa dan aniaya dengan tiada yang benar , dan (Ia haramkan ) kamu menyekutukan Allah dengan  suatu yang keterangannya tidak Ia turunkan , dan (Ia haramkan) kamu berkata atas nama Allah  suatu yang kamu tidak tahu. '' Al-'Araf: 33 . Ianya adil untuk hukuman dijatuhkan ke atas pesalah, Allah juga menegaskan bahawa kita manusia ini tidak mengetahui akan apa yang Allah ketahui.  Namun itu bukanlah alasan untuk mengendahkan mereka yang berbeza kepercayaan kerana Allah telah berfirman ''Tiada paksaan dalam agama , sesungguhnya sudah nyata petunjuk daripada kesesatan . Barangsiapa yang tidak percaya kepada taghut (berhala) dan beriman kepada Allah , sesungguhnya dia telah berpegang dengan tali yang teguh dan tidak akan putus . Allah Maha Mendengar lagi Mengetahui. '' Al-Baqarah : 256.
Hukuman yang diberikan tidak semestinya membebankan negara jika dijalankan ,ekonomi langsung tidak terjejas andainya rakyat sendiri bijak untuk berusaha memperbaiki diri.

**********************************************************************************

Dari Abi Tha'labah al-Khushany Jurthumi bin Nashirin r.a , dari Rasulullah s.a.w katanya : Sesungguhnya Allah S.W.T telah memfardhukan beberapa fardhu , maka janganlah kamu mensia-siakannya . Dan Ia telah menetapkan beberapa hudud (batasnya) , maka janganlah kamu melampauinya . Dan Ia telah mengharamkan segala sesuatu maka janganlah kamu menncerobohinya . Dan ia telah diamkan segala sesuatu sebagai rahmat bagi kamu bukan diam kerana lupa, maka janganlah cuba menyelidikinya. (HR al-Daruqutni).
Sebagai renungan.

sekian sahaja coretan kali ini,
yang baik itu datang dari Allah,
yang buruk itu datang dari Allah namun diburukkan lagi oleh diri sendiri,
wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...