“Fikiran kamu ni kuno betullah. Sepatutnya fikiran kita ini menjadi
lebih terbuka. Takkanlah hal remeh-temeh pun kamu mahu menggunakan hukum
Al-Quran dan juga As-Sunnah?” “Wahai sahabatku, bukankah Al-Quran itu petunjuk
sepanjang jalan? Bahkan ia merupakan mukjizat agung baginda Rasulullah SAW?”
“Memang tidak dapat dinafikan bahawa Al-Quran merupakan mukjizat agung baginda,
namun kita perlu sedar bahawa sekarang ini merupakan zaman milenia. Zaman yang
serba canggih. Sampai bila kita hendak berfikiran kuno?” “Bolehkah sahabat
mendefinisikan perkataan ‘kuno’ yang selalu sahabat ulangi itu?” “Sebagai
contoh, pada zaman ini kita memerlukan kerjasama antara lelaki dan wanita. Kita
perlu menerima hakikat bahawa pergaulan antara lelaki dan wanita tidak dapat
dielakkan.” “Apa yang ingin sahabat utarakan?” “Maksudnya, kita tidak boleh
mengeluarkan dalil untuk membidas tentang hakikat ini.” “Tidak dapat dinafikan
bahawa kerjasama antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim itu memang
diperlukan terutamanya dalam organisasi, namun kita seharusnya bijak
mengadaptasi hukum Allah dengan kehidupan yang mencabar masa kini.”
“Maksud kamu?” “Sahabat tahukah bahawa terdapat seorang profesor
yang mualaf mengakui bahawa dia tertarik dan tergerak untuk memeluk Islam
kerana kesyumulannya (kesempurnaan) berbanding dengan keperibadian umat Islam
zaman kini. “ “Hmm, sila lanjutkan.” “Sekiranya sahabat melihat di persekitaran
kita, terlalu ramai umat Islam yang mengamalkan gaya hidup jahiliyyah. Yang
musliminnya memakai seluar pendek, tidak solat Jumaat, dan bermacam lagi yang
tidak menepati gaya Rasulullah SAW. Muslimatnya mendedahkan aurat yang
seharusnya disembunyikan dan bermacam lagi perbuatan yang mengingkari Allah.
Seandainya kita dinilai dari luaran, sudah semestinya tiada yang ingin memeluk
agama Islam sedangkan Islam itu adalah cara hidup yang sebenarnya. Islam
mengajar penganutnya tentang cara bermuamalah dengan adil, Islam membela kaum
wanita dengan memberikan mereka perlindungan, Islam mengangkat darjat wanita
dan pelbagai lagi kelebihan yang diberikan kepada penganutnya dengan adil.
Namun, kita sahaja yang sengaja ‘membutakan’ mata zahir serta batin untuk
melihat kebenaran kerana ingin ‘memenangkan’ kebathilan (nafsu) yang tidak
pernah puas. Perlindungan di anggap sebagai ‘sekatan’ yang menyeksakan.” “Apa
kaitannya dengan perihal hubungan kerjasama antara lelaki dan wanita?”
“Seperti yang saya katakan tadi, memang pergaulan (ikhtilat) itu
tidak dapat dielakkan. Namun, kita perlu menjaga batas yang telah ditetapkan
oleh syariat. Sahabat perlu tahu bahawa, tujuan interaksi antara dua jantina
yang berbeza ini adalah untuk sebab yang munasabah sahaja.” “Maksudnya?” “Dalam
pergaulan itu, kita perlu mematuhi hukum, peraturan, adab dan tatasusila
tertentu.” “Jelaskan secara terperinci.” “Dengan lafaz yang mudah sahabat.
Dalam pergaulan tadi, aurat itu perlulah ditutup dengan sempurna, nada suara
adalah normal (tidak dimanja-manja dengan kelunakkan suara) dan tidak memandang
dengan nafsu.” “Hmm, ok. Saya terima pendapat kamu. Tapi, tadi kamu ada
mengatakan sesuatu tentang tujuan pergaulan. Boleh kemukakan asbab-asbab
berkenaan.” Senyum seketika, “Asbabnya mudah sahaja sahabat. Sebagai contoh,
pergaulan itu untuk proses menuntut ilmu. Kita contohi sirah baginda SAW berdasarkan
hadis ini:
‘Kaum
wanita berkata kepada nabi: Kaum lelaki menewaskan kami ke atasmu, tentukanlah
satu hari bagi kami. Baginda pun menjanapabilan satu hari pada mereka di mana
baginda bertemu dengan mereka.’
“Maksud kamu, kita ni tidak boleh bergaul dengan mereka yang berbeza
jantina secara suka-suka?” “Memang sudah jelas bukan? Sahabat sudah sedia tahu,
bahkan lebih arif dalam bab sebegini jika dibandingkan dengan saya. Ingat
sahabat, syaitan itu memang tidak pernah berputus-asa untuk menyesatkan manusia.
Memberi ‘kemenangan’ kepada nafsu, hanya memberi ‘nikmat’ buat sementara waktu
sahaja. Selebihnya adalah penyesalan dan penderitaan. Bahkan bukan dalam hal
ikhtilat sahaja yang perlu dititikberatkan. Hidup kita ini seharusnya perlu
bersandarkan Al-Quran dan hadis.” “Ya, itu saya tahu. Tapi takkanlah,
sikit-sikit keluar dalil?” “Hmm, maafkan saya sahabat. Mungkin pendekatan saya
‘kasar’ sedikit. Namun, setiap orang ada caranya yang tersendiri. Tidak salah
bukan, jika saya cuba mencontohi cara baginda SAW berdakwah? Baginda tidak akan
bersuara melainkan mendapat wahyu daripada Allah SWT. Lagipun, dengan
mengemukakan ayat-ayat Al-Quran serta hadis yang berkaitan, ilmu yang saya
perolehi tidak akan hilang, bahkan insya Allah semakin bertambah. Selain itu
juga, hati akan menjadi lebih tenteram. Bukankah Allah sudah menjelaskan bahawa
dengan mengingati-Nya, hati akan menjadi tenang (Ar-Rad: 28)?”
Suasana hening seketika. “Sahabat perlu tahu, ketika kita berada di
zaman yang serba canggih ini, iman juga mudah ‘dipijak’ dengan begitu sahaja.
Maruah Islam semakin hari semakin dicabar. Semangat Abu Hafs (Bapa Singa:
Gelaran Saidina Umar Al-Khattab) semakin pudar. Keberanian Saifullah (Pedang
Allah) Khalid Al-Walid juga semakin hilang daripada jiwa anak-anak muda. Sayu
sahabat, melihat para syabab ‘tersungkur’ di kaki kemodenan. Mengagungkan
ciptaan manusia daripada mengagungkan Allah yang Esa. Sedangkan bila dilihat
semula, ciptaan manusia tidaklah begitu sempurna. Bahkan mempunyai banyak
kelemahan.” “Kalau kamu mahu sangat akan semangat Abu Hafs dan keberanian
Saifullah, saya sarankan kamu ikut golongan mujahidin di Palestin, Syria,
Mesir, Libya, Afghanistan dan Rohingya.”
“Perang? Ya saya memang ada menyimpan hasrat untuk ke sana, namun belum masanya
lagi.” “Kenapa? Kamu takut?” “Bukan takut sahabat. Namun, berperang sendirian
tidak akan memberi kemenangan yang hakiki. Apabila setiap kaum muslimin
bergabung tenaga dan usaha, barulah Islam boleh dikembalikan semula.” “Maksud
kamu?” “Untuk melahirkan generasi yang ‘hebat’ secara fizikal dan mental, kita
perlu mengembalikan dan meghidupkan cara hidup Islam. Kembali kepada fitrah.”
“Saya kurang faham.” “Sebagai contoh, tidak ada gunanya kita mengatakan betapa
bahayanya api yang marak kepada orang yang sedang tidur berdekatan dengan api
tersebut, melainkan dengan mengejutkannya sebelum memberinya peringatan. Perjuangan
ini tidak dapat difahami dengan sepintas lalu sahabat. Istiqamahlah. Insya Allah
sahabat akan memahaminya.” “Perjuangan lebih mudah difahami dengan mengalaminya
sendiri. Bukan begitu?” “Tepat sekali sahabatku.” “Tambahan pula, Al-Quran juga
ada menyebut bahawa, tidak semuanya harus pergi berperang. Sebahagian pergi
berperang, sebahagian pula mempertahankan kota ataupun keluar mencari ilmu.”
“Hmm. Kamu tahu bukan? Bahawa saya juga pernah berjuang seperti
kamu. Namun, saya terhenti di pertengahan jalan.” Senyap dan hanya bunyi
keluhan kedengaran. “Mungkin sahabat masih ingat tentang kandungan buku yang
sahabat kupas untuk kami dahulu.” “Buku yang mana satu?” Persoalan diutarakan
dengan sedikit tersekat. Muka berona merah tanda malu kerana tidak mengamalkan
apa yang diajar. “Buku Ustaz Fathi Yakan. ‘Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan
Pendakwah.” “Apa yang ada di dalam buku tersebut?” “Hmm, salah satunya adalah
dugaan yang sering dihadapi oleh para pendakwah.” “Contohnya?” “Contohnya,
orang mukmin yang dengki, orang munafiq yang membenci, orang kafir yang mahu
memerangi, syaitan yang ingin menyesatkan dan nafsu yang sentiasa bertarung
dengan diri.” “Lanjutkan.” “Sahabat mungkin terhenti kerana dugaan yang sahabat
hadapi. Namun, ingatlah sahabat, bahawa Allah tidak akan membebankan hamba-Nya.
Apa yang kita hadapi itu adalah setimpal dengan kekuatan kita. Bukankah ujian
itu untuk melihat setinggi mana nilainya keimanan kita terhadap Allah SWT.” “Manusia
kadang kala akan lemah.” “Sebab itulah kita tidak boleh hanya bergantung pada
semangat. Kefahaman tentang perjuangan itu juga perlu.” “Bagaimana?” “Bukankah
sahabat juga yang pernah menasihati untuk lebih rajin mengkaji Sirah nubuwwah?”
“Dengan membaca kisah perjuangan para anbiya’ dan golongan tabi’ tabi’in, kita
akan lebih gigih untuk menegakkan semula kalimah Allah. Ada baiknya jika
sahabat turut sama menyumbang tenaga untuk mengembalikan Islam.” “Wujudkah kesempatan
itu?” “Duhai sahabat. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” “Akan
lahirkah khalifah di zaman ini?” “Kita boleh usahakannya. Bermula dengan
dakwah.” “Jika khalifah itu bukan untuk generasi kita? “Sekurang-kurangnya kita
telah berusaha untuk ke arah itu.”
“Sungguh duhai sahabatku. Kita sememangnya sedia maklum tentang
kepentingan jihad dalam kehidupan. Namun kita tidak sedar, kerana kita telah
‘dibutakan’ dengan pelbagai keasyikan dunia.” “Benar apa yang kamu katakan
sebentar tadi. Sedangkan, jika dicelikkan ‘mata hati’, kita pasti akan lebih mendambakan
syurga yang abadi.” “Benar sahabatku. Adakah sahabat bersedia untuk kembali ke
medan jihad?” “Bi iznillah. Dengan izin Allah. Terima kasih kerana sudi
menyedarkan saya.” “Memang sudah tanggungjawab duhai sahabatku. Bukankah kita
ini sememangnya saudara seIslam. Saling tolong-menolong.”
“Dan
berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang
miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, teman sejawat, orang yang berjalan jauh,
dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang
sombong dan bangga diri.”
“Perjuangan itu lebih manis dirasa, jika wujud insan yang saling
mengasihi kerana Allah. Mungkin hari ini, giliran saya untuk membantu.
Dikemudian hari pula, giliran sahabat untuk membantu saya. Bukankah
ingat-mengingati itu tugas seorang dai’e?” “Banyak sungguh perkara yang telah
saya abaikan, bahkan ada yang dilupakan. Sungguh nikmat dunia itu selalu
membutakan mata hati dan melemahkan iman.” “Tiada manusia yang sempurna, wahai
sahabatku.” “Tentang pergaulan yang saya sebutkan pada awal perbualan. Perasaan
yang berbeza terhadap rakan sejawat. Adakah cara yang sesuai untuk
menanganinya?” “Lumrah manusia memiliki perasaan kasih sayang. Namun, kita
perlu bijak. Caranya mudah, jika berkemampuan. Sahabat luahkan dan usahakan
untuk mengikat tali perhubungan yang halal. Jika tidak mampu, elakkan.” “Bukan
mudah untuk dilakukan.” “Benar, namun jika ada niat yang baik. Insya Allah
dimudahkan.” “Utamakan yang utama?” “Ya, perjuangan didahulukan.” “Perjumpaan
ini membawa angin perubahan yang lebih ‘hebat’.” “Tidak sehebat dengan apa yang
sahabat lakukan kepada saya dan beberapa sahabat yang lain. Kami rindukan dan
dambakan ilmu daripada sahabat. Kata-kata yang penuh makna. Falsafah yang
hebat. Kepetahan berbicara yang mantap. Kami rindukan naqib yang berwibawa.”
“Tanggungjawab, amanah yang diabaikan.” “Manusia adakalnya lalai. Namun, boleh
diperbaiki.” “Dengan istiqamah.” “Dengan kesabaran.” “Dan dengan keikhlasan terhadap
Allah.” “Ihsan yang tertinggi.”
“Terima kasih sahabatku, kerana menyedarkan diri yang alpa. Dirimu
telah berjaya untuk menjadi qudwatun hasanah (contoh terbaik). “Masih jauh lagi
perjalanan hidup ini duhai sahabat. Segala kebaikan itu, kita kembalikan kepada
Pemilik yang Esa. Hanya Dia sebaik-baik perancang.” “Ya perjalanan masih jauh.
Perjuangan juga masih jauh.” Perbualan terhenti. Masing-masing merenung langit
yang membiru. Terdetik di hati, “Mungkinkah gerakan Islam akan kembali aktif?”
Hanya masa dan golongan syabab yang akan menentukannya.