Thursday

Adiwira Vs Superhero



Assalammualaikum wrh. Dah lama dah blog tidak dikemaskini. Pertama sekali, KA ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Sewaktu tiada idea, KA sempat menjenguk blog-blog sahabat & sahabiah, Alhamdulillah dapat banyak input berguna. Kerap hati diketuk dengan hentakan keinsafan, semangat dan juga wawasan. Teringat pesanan senior, “Dalam perjuangan ini, akan ada pelbagai mehna dan tribulasi (cabaran dan halangan). Sebab itu, kita jangan terlalu bergantung pada semangat kerana semangat itu ada jatuh dan naiknya. Cuba bayangkan, disaat tenaga dan mentaliti diperlukan, dan pada saat itu juga semangat kita jatuh merudum, maka tiada apa yang dapat disumbangkan. Jadi apa yang diperlukan dalam perjuangan adalah ilmu. Insan yang tahu tentang kepentingan jihad, tidak akan pernah berputus asa walaupun diuji dengan ujian yang berat, sebaliknya insan tersebut akan menghadapi ujian itu dengan senyuman kerana dia mempunyai ilmu. Oleh itu, penuhkan dada dengan ilmu. Tidak lengkap iman tanpa ilmu. Kerahkan diri untuk mengutip ilmu Allah di dunia ini.” Maknanya, dalam apa jua pekerjaan yang dilaksanakan, kita tidak boleh terlalu bergantung pada semangat sahaja, tetapi apabila kita tahu akan kepentingan sesuatu perkara itu, secara automatiknya kita akan terus bergerak ke hadapan meskipun semangat itu kurang.
 
Cerita tentang jihad (bersungguh-sungguh) ni pula, teringat tentang satu petikan yang terdapat di dalam novel “Suamiku Seorang Ustaz”. Petikan tu lebih kurang seperti ini, “Pastikan apa yang kita lihat dalam drama itu membawa manfaat untuk Islam. Ambil pengajaran yang berguna. Jangan tengok untuk sia-sia sahaja.” Apa kaitannya dengan bersungguh-sungguh? KA ingin bertanya, pembaca pernah melihat anime ataupun kartun yang mengisahkan tentang adiwira (superheroes)? Mesti pernahkan? Apa yang dapat anda simpulkan apabila melihat adiwira tersebut bersungguh-sungguh melawan kejahatan? Sebab itu memang tugas adiwira? Ya, memang benar, tetapi sebab yang utama adalah mereka merasakan apa yang mereka lakukan (melawan penjahat) adalah perkara yang betul, sebab itulah mereka membuatnya dengan bersungguh-sungguh. Sama juga dengan para dai’e (pendakwah), bila kita tahu tugas berdakwah itu adalah benar, kita perlu mempertahankannya (lakukannya) dengan bersungguh-sungguh. Bila jadi pendakwah pula, memang kita akan diuji dari pelbagai sudut, panggilan dunia bahkan membuatkan manusia mudah hanyut hingga lupa dengan tanggungjawab sebagai khalifah dan juga hamba Allah. Sebab itulah, mereka yang sedar perlu mengejutkan mereka yang ‘terlena’ dengan dunia. Seperti pesanan Ustaz Fathi Yakan, “Teramat mustahil untuk menyelamatkan orang yang tidur berdekatan dengan api yang marak melainkan dengan mengejutkan mereka lalu menyedarkan mereka betapa bahayanya api yang marak itu.” (Pendakwah kena menasihati manusia yang lalai, menyedarkan mereka dengan tanggungjawab yang dipikul). Sekurang-kurangnya kita sudah berusaha untuk menasihati mereka, selebihnya serahkan kepada Allah. 

Kesimpulannya, walaupun kita melihat anime, kartun, drama, telefilem ataupun varieti show, pastikan kita mengutip hikmah yang terkandung di dalamnya. Sama ada negatif ataupun positif. Bagaimana mahu mengambil pengajaran daripada benda yang negatif? Mudah sahaja, jangan lakukan perkara yang negatif. Contohnya, apabila KA melihat drama Jepun, kebanyakan skrip itu adalah kata-kata yang negatif (taboo words). Kadangkala, si anak akan menyumpah ayahnya, "Baka oyaji". Apabila kita melihat scene sebegini, jangan pula amalkan (itulah yang patut kita lakukan apabila melihat atau mendengar perkara negatif). Pengajaran yang positif pula, kita amalkan. Contohnya, dalam cerita anime, mesej persahabatan lebih banyak ditonjolkan. Dalam Islam sendiri menganjurkan kita untuk mengeratkan silaturrahim, oleh itu terapkanlah amalan ini dalam hidup seharian. Mudah bukan? Jadi pendakwah ni, bukannya hanya dalam masa, tempat ataupun zaman tertentu sahaja tetapi adalah selama 24 jam,setiap bulan, tahun bahkan sepanjang hayat. Tidak susah pun, adaptasikan diri dengan alaf modenisasi. Sekarang adalah zaman teknologi, variasikan cara dakwah anda. Dari alam realiti ke alam maya.

Anda hebat berpidato, berforum, bercerita, menyanyi, berlakon, berpuisi, bersajak, berpantun, menulis dan banyak lagi? Jangan sia-siakan bakat anda, gunakannya untuk Islam. Gunakan bakat anda semaksima dan sebaik yang mungkin demi dan untuk Islam tercinta.



Friday

Mana Perginya Masa Mu?

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ayuh kita refleksi (menghitung diri) buat seketika. Ayuh kita selami masa kita dalam seharian. Tidak perlu kita memikirkan masa kita setahun yang lalu, sebulan yang lalu mahupun seminggu yang lalu. Cukuplah hanya menghitung hari semalam yang sudah berlalu.

Berapa banyak masa yang kita 'miliki' dalam tempoh sehari? Benar, 24 jam. Cuba renungi fakta ini, kita tidur lebih kurang dalam 5-8 jam sehari. Kita berjaga 19 ataupun 16 jam sehari. Kita beribadah mungkin hanya mengambil masa beberapa jam (1-2 jam). Lalu, ke mana masa kita yang selebihnya? Adakah kita menghabiskan masa yang selebihnya dengan baik? Maksud? Adakah kita meneruskan aktiviti harian kita dengan amalan yang baik ataupun sebaliknya? Adakah kita menghabiskan masa dengan berzikir, membaca Al-Quran, menelaah buku haraki, berzikir, bersedekah, mendengar ceramah dan pelbagai lagi ibadah yang lain? Teramat beruntunglah kita sekiranya setiap kali kita melakukan sesuatu pekerjaan itu diniatkan kerana Allah (bagaimana sekiranya kita hanya bekerja tanpa berniat kerana Allah? Bukankah itu merugikan?)

Bayangkanlah, kita hanya beribadah dalam masa 2 jam, selebihnya entah ke mana. Cuba bayangkan lagi, dapatkah amal ibadah yang begitu sedikit menanggung dosa yang begitu banyak? Pahala tidak akan datang bergolek ke arah manusia jika manusia itu terus duduk di satu titik yang penuh dengan dosa dan tiada usaha untuk memperbaiki diri dan melalui proses 'pencerahan' daripada titik hitam itu?

Memang benarlah firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh. Berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran." (Al-Asr: ayat 2-3) 

Apa yang kita dapat simpulkan daripada  ayat ini adalah kita sentiasa berada dalam kerugian, kerana kita membiarkan diri kita mengejar masa (orang yang mensia-siakan  masa dan akhirnya meratapi pemergian masa) dan bukannya orang yang sentiasa di hadapan masa. Ingat, masa itu ibarat pedang yang tajam. Bila-bila masa sahaja ia mampu untuk memotong kita dengan kibasannya yang tidak ada penangguhan.

Konklusinya, JANGAN biarkan anda, dia, saya, kita, kamu dan mereka menjadi insan yang sentiasa kerugian.

Pantun Nasihat




Telefon bimbit tiba-tiba mati,
Pengecas hilang entah ke mana,
Jangan mudah berikan hati,
Takut nanti ada yang terluka.

Terbang tinggi si burung merpati,
Sibuk mencari buah delima,
Taubatlah wahai hati,
Allah pasti akan terima.

Pengembala pergi menghampiri kawanan biri-biri,
Untuk menjaga daripada serangan serigala,
Bila tiada yang menghampiri,
Ingatlah Allah sentiasa bersama.

Putih-putih merpati,
Merah-merah delima,
Jika hati telah mati,
Bagaimana Allah nak terima?

Pergi bandar mencari rumah,
Rumah indah di dakam taman,
Tanpa iman manusia lemah,
Maka segera tingkatkan iman.

Pergi kerja sehingga lesu,
Mata mengantuk menanti untuk berlabuh,
Jangan mudah turuti nafsu,
Kerana itu membuat kau jatuh.



Tuesday

Tunggu Apa Lagi?

Pak cik Ali pergi ke sawah,
Pergi ke sawah tanpa semput,
Tugas kita adalah berdakwah,
Hingga maut datang menjemput.

Pergi ke pekan dengan Pak Razak,
Beli baju bukan main mahal,
Jangan tunggu sehingga nazak,
Baru sibuk nak beramal.

Petang-petang pergi ke baruh,
Terserempak dengan pokok mengkudu,
Kerja jangan asyik bertangguh,
Ingat maut tak tunggu-tunggu.

Bila buat dosa mintalah ampun,
Jangan biar diri terus berdosa,
Jangan kata aku bukannya baikpun,
Sebab kita bukan manusia yang sempurna.

Mandi di kampung guna perigi,
Air perigi jelas terasa sejuknya,
Jangan kata aku muda lagi,
Kerana ajal itu kita tak tahu bila masanya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...