Assalammualaikum wrh. Apa khabar pembaca
sekalian. KA harap semuanya dalam keadaan yang sihat. Tulisan kali ini adalah
untuk mengajak pembaca sekalian berfikir tentang nikmat dan bersyukur dengan
nikmat yang dimiliki. Alhamdulillah, Allah memberikan KA peluang untuk
menikmati salah sebuah daripada “nikmat-Nya” iaitu buku karangan Syed Alwi
Alatas yang berjudul “Bersyukurlah Kerana-Nya”. Membaca sinopsisnya sahaja
sudah mampu menggerakkan hati dan minda untuk menyedari serba sedikit tentang
nikmat Allah, apatah lagi dengan menyelak setiap lembaran yang ada.
“Setiap saat yang berlalu dalam kehidupan
manusia, dilimpahi nikmat daripada Allah. Setiap udara yang disedut dan
dihembus keluar, setiap degupan nadi yang berdenyut dan setiap apa yang ada
pada diri kita adalah sejuzuk kecil daripada sekian banyak nikmat yang kita
kecapi. Namun, berapa ramai antara kita yang memanjatkan syukur dan berterima
kasih kepada Allah?”
Bersyukurlah kerana-Nya, ternyata memang
berkesan untuk membuka mata dan hati kita untuk melihat betapa banyaknya nikmat
yang diperolehi, lantas mendorong kita untuk menjadi hamba-Nya yang bersyukur.
Antara perkara yang boleh dikongsi adalah, nikmat itu indah. Bagaimana? Apabila
kita menyedari, segala apa yang pernah dan sedang dimiliki adalah kerana
pemberian Allah (nikmat dari-Nya) pasti kita akan menjadi hamba yang
benar-benar bersyukur. Untuk menjadi hamba yang bersyukur, sudah tentulah kita
perlu melalui fasa yang tertentu.
Pertama: Mengetahui setiap apa yang
dimiliki ataupun dirasai adalah nikmat Allah. Udara untuk bernafas, anggota
badan yang lengkap serta sihat, akal yang waras, harta yang dimiliki, anak-anak
yang ramai, masih bernyawa sehingga ke saat ini (dan selebihnya, KA beri
peluang kepada pembaca untuk memikirkan nikmat yang kita rasai).
Kedua: Syukuri nikmat yang ada. Pernah
dengar bait lagu ini? “Syukuri apa yang ada, Hidup adalah anugerah…”. Seperti
dalam bait lagu ‘Jangan Menyerah’ini, Allah juga telah mengingatkan manusia
tentang “Syukur” dalam kitabnya. Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali. Kebanyakannya
dengan soalan bernada sinis. Tidak percaya? Ayuh selak tafsir.
“Sesungguhnya manusia sangat tidak
bersyukur akan nikmat Tuhannya.” (Al-‘Adiyat: ayat 6).
“Allah yang menjadikan malam untuk
kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang. Sesungguhnya Allah
sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi
kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Ghaffir: 61).
Cuba renungkan bersama
mengapa Allah menekankan bahawa ramai sungguh manusia yang tidak mahu
bersyukur? Adakah kita dalam golongan yang terlalu banyak dan tidak mahu
bersyukur ataupun dalam golongan yang sedikit tetapi bersyukur? Bercakap tentang syukur, Mahukah pembaca
mengetahui fakta yang menaroik tentang syukur? Fakta yang menarik tentang
syukur adalah, selain mendekatkan hubungan dengan Allah, ia juga berfungsi
sebagai “pengikat” ataupun “penarik” nikmat-nikmat tambahan daripada Allah.
Bukankah ini mendorong kita untuk lebih bersyukur? Semakin banyak kita
bersyukur, maka semakin banyak nikmat yang akan kita perolehi, bahkan berlipat
ganda. Namun, jika kita kufur nikmat pula, nikmat itu semakin lama semakin
menghilang dan akan bertukar menjadi azab. Bagaimana nikmat menjadi azab? Ia
adalah kerana, dengan nikmat yang diperolehi itu, kita semakin jauh dengan
Allah. Kita yakin, bahawa nikmat itu diperoleh dengan usaha dendiri dan
bukannya dari Allah. Cuba bayangkan apa yang akan jadi, apabila kita tidak mahu
bersyukur dengan Allah? Semakin banyak kita meninggi diri, semakin jauh kita
dari rahmat Allah.
Nikmat ->
Bersyukur (Tahu nikmat itu datang dari Allah = Timbul rasa syukur. Bersyukur
dengan rasa syukur )-> Bahagia
Ketiga: Setelah wujudnya kesyukuran, maka
akan tiba kebahagiaan. Hmm, tidak mustahil bukan? Sebagai contoh, udara yang
kita sedut dan hembus saban waktu adalah diberi secara percuma dengan Allah. Kesihatan
fizikal dan mental adalah dengan izin Allah, dan banyak lagi nikmat yang kita
nikmati. Nikmat sebegini, mungkin kita hanya pandang sebelah mata sahaja, namun
cuba bayangkan jika nikmat yang kita ada sekarang, ditarik semula oleh Allah.
Bayangkan, Allah menghilangkan oksigen, bagaimana kita hendak meneruskan hidup
setelah itu? Mustahil! Bagaimana kita mahu bernafas jika tiada oksigen, betul? Dan tahukah pembaca sekalian bahawa nikmat bernafas itu adalah serendah-rendah nikmat Allah? Subhanallah, begitu besar nikmat yang telah Allah berikan kepada kita selama ini.Cuba
bayangkan pula, anggota yang selama ini lengkap, terpaksa dipotong ataupun
dibuang. Kita terpaksa hidup dengan keadaan sebegitu buat selama-lamanya. Adakah
keadaan dahulu dan sekarang akan sama? Sudah tentu tidak, bahkan mungkin sukar.
Sebab itulah, apabila kita bersyukur, kita pasti akan sentiasa rasa cukup. Untuk
menikmati kebahagiaan ini pula, bukannya susah manapun. Fikirkan apa yang kita
miliki sekarang dan bandingkan dengan keadaan yang dahulu. Bukannya fikirkan
masa kini dan cuba bandingkan masa depan. Apabila kita sibuk memikirkan sesuatu
yang belum dimilki, pasti kita akan berada dalam keadaan yang tertekan. Teramat mustahil
untuk kita rasa bahagia apabila sedang tertekan.
Hmm. Nikmat yang kita miliki ni sebenarnya
banyak. Teramat banyak. Sukar untuk dihitung. Oleh itu syukurilah. Tahukah
pembaca sekalian bahawa, ujian itu adalah nikmat dari Allah? Hah, antara nikmat
yang kita perolehi daripada ujian adalah ; nikmat penghapusan dosa, nikmat
pengajaran, nikmat pendorong untuk mendekati Allah, nikmat penggantian dengan
sesuatu yang lebih baik dan banyak lagi. perkara yang menarik tentang nikmat
pula, ia boleh menjadi ujian buat kita. Kadang Allah memberikan kita nikmat
untuk melihat sama ada kita ini hamba-Nya yang bersyukur ataupun tidak? Jika
kita beryukur, maka luluslah kita. Jika kita kufur, maka istidraj lah jawapannya (diazab dengan nikmat. Contohnya, semakin membuat maksiat tetapi semakin
berharta = semakin berdosa). Maka banyakkanlah bersyukur. Bersyukur pula, bukan
dengan mengatakan, “Alhamdulillah aku mendapat nikmat ini kerana aku layak.”
Tetapi beryukurlah dengan cara ini, “Alhamdulillah, aku mendapat nikmat ini,
meskipun aku tidak layak menerimanya.” Kenapa kita tidak layak menerimanya? Memang
tidak layak pun. Sedangkan orang yang beribadah 500tahun pun belum mampu
menebus ganjaran syurga untuk dirinya melainkan dengan rahmat Allah, inikan
pula dengan kita?
Akhir sekali, ini adalah cara untuk
mengekspresikan rasa syukur kepada Allah: Memerhatikan tanda kekuasaan Allah,
memerhati kejadian siang dan malam, memerhati perubahan positif pada diri,
memerhati kesempurnaan hokum Allah. Tunggu apa lagi? Ayuh kita ekspresikan rasa
syukur terhadap nikmat yang dimiliki untuk mengecap kebahagiaan.
Selamat membaca.
Selamat membaca.