Wednesday

Tahu Tapi Tidak Sedar



“Fikiran kamu ni kuno betullah. Sepatutnya fikiran kita ini menjadi lebih terbuka. Takkanlah hal remeh-temeh pun kamu mahu menggunakan hukum Al-Quran dan juga As-Sunnah?” “Wahai sahabatku, bukankah Al-Quran itu petunjuk sepanjang jalan? Bahkan ia merupakan mukjizat agung baginda Rasulullah SAW?” “Memang tidak dapat dinafikan bahawa Al-Quran merupakan mukjizat agung baginda, namun kita perlu sedar bahawa sekarang ini merupakan zaman milenia. Zaman yang serba canggih. Sampai bila kita hendak berfikiran kuno?” “Bolehkah sahabat mendefinisikan perkataan ‘kuno’ yang selalu sahabat ulangi itu?” “Sebagai contoh, pada zaman ini kita memerlukan kerjasama antara lelaki dan wanita. Kita perlu menerima hakikat bahawa pergaulan antara lelaki dan wanita tidak dapat dielakkan.” “Apa yang ingin sahabat utarakan?” “Maksudnya, kita tidak boleh mengeluarkan dalil untuk membidas tentang hakikat ini.” “Tidak dapat dinafikan bahawa kerjasama antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim itu memang diperlukan terutamanya dalam organisasi, namun kita seharusnya bijak mengadaptasi hukum Allah dengan kehidupan yang mencabar masa kini.”

“Maksud kamu?” “Sahabat tahukah bahawa terdapat seorang profesor yang mualaf mengakui bahawa dia tertarik dan tergerak untuk memeluk Islam kerana kesyumulannya (kesempurnaan) berbanding dengan keperibadian umat Islam zaman kini. “ “Hmm, sila lanjutkan.” “Sekiranya sahabat melihat di persekitaran kita, terlalu ramai umat Islam yang mengamalkan gaya hidup jahiliyyah. Yang musliminnya memakai seluar pendek, tidak solat Jumaat, dan bermacam lagi yang tidak menepati gaya Rasulullah SAW. Muslimatnya mendedahkan aurat yang seharusnya disembunyikan dan bermacam lagi perbuatan yang mengingkari Allah. Seandainya kita dinilai dari luaran, sudah semestinya tiada yang ingin memeluk agama Islam sedangkan Islam itu adalah cara hidup yang sebenarnya. Islam mengajar penganutnya tentang cara bermuamalah dengan adil, Islam membela kaum wanita dengan memberikan mereka perlindungan, Islam mengangkat darjat wanita dan pelbagai lagi kelebihan yang diberikan kepada penganutnya dengan adil. Namun, kita sahaja yang sengaja ‘membutakan’ mata zahir serta batin untuk melihat kebenaran kerana ingin ‘memenangkan’ kebathilan (nafsu) yang tidak pernah puas. Perlindungan di anggap sebagai ‘sekatan’ yang menyeksakan.” “Apa kaitannya dengan perihal hubungan kerjasama antara lelaki dan wanita?”

“Seperti yang saya katakan tadi, memang pergaulan (ikhtilat) itu tidak dapat dielakkan. Namun, kita perlu menjaga batas yang telah ditetapkan oleh syariat. Sahabat perlu tahu bahawa, tujuan interaksi antara dua jantina yang berbeza ini adalah untuk sebab yang munasabah sahaja.” “Maksudnya?” “Dalam pergaulan itu, kita perlu mematuhi hukum, peraturan, adab dan tatasusila tertentu.” “Jelaskan secara terperinci.” “Dengan lafaz yang mudah sahabat. Dalam pergaulan tadi, aurat itu perlulah ditutup dengan sempurna, nada suara adalah normal (tidak dimanja-manja dengan kelunakkan suara) dan tidak memandang dengan nafsu.” “Hmm, ok. Saya terima pendapat kamu. Tapi, tadi kamu ada mengatakan sesuatu tentang tujuan pergaulan. Boleh kemukakan asbab-asbab berkenaan.” Senyum seketika, “Asbabnya mudah sahaja sahabat. Sebagai contoh, pergaulan itu untuk proses menuntut ilmu. Kita contohi sirah baginda SAW berdasarkan hadis ini:

‘Kaum wanita berkata kepada nabi: Kaum lelaki menewaskan kami ke atasmu, tentukanlah satu hari bagi kami. Baginda pun menjanapabilan satu hari pada mereka di mana baginda bertemu dengan mereka.’

“Maksud kamu, kita ni tidak boleh bergaul dengan mereka yang berbeza jantina secara suka-suka?” “Memang sudah jelas bukan? Sahabat sudah sedia tahu, bahkan lebih arif dalam bab sebegini jika dibandingkan dengan saya. Ingat sahabat, syaitan itu memang tidak pernah berputus-asa untuk menyesatkan manusia. Memberi ‘kemenangan’ kepada nafsu, hanya memberi ‘nikmat’ buat sementara waktu sahaja. Selebihnya adalah penyesalan dan penderitaan. Bahkan bukan dalam hal ikhtilat sahaja yang perlu dititikberatkan. Hidup kita ini seharusnya perlu bersandarkan Al-Quran dan hadis.” “Ya, itu saya tahu. Tapi takkanlah, sikit-sikit keluar dalil?” “Hmm, maafkan saya sahabat. Mungkin pendekatan saya ‘kasar’ sedikit. Namun, setiap orang ada caranya yang tersendiri. Tidak salah bukan, jika saya cuba mencontohi cara baginda SAW berdakwah? Baginda tidak akan bersuara melainkan mendapat wahyu daripada Allah SWT. Lagipun, dengan mengemukakan ayat-ayat Al-Quran serta hadis yang berkaitan, ilmu yang saya perolehi tidak akan hilang, bahkan insya Allah semakin bertambah. Selain itu juga, hati akan menjadi lebih tenteram. Bukankah Allah sudah menjelaskan bahawa dengan mengingati-Nya, hati akan menjadi tenang (Ar-Rad: 28)?”

Suasana hening seketika. “Sahabat perlu tahu, ketika kita berada di zaman yang serba canggih ini, iman juga mudah ‘dipijak’ dengan begitu sahaja. Maruah Islam semakin hari semakin dicabar. Semangat Abu Hafs (Bapa Singa: Gelaran Saidina Umar Al-Khattab) semakin pudar. Keberanian Saifullah (Pedang Allah) Khalid Al-Walid juga semakin hilang daripada jiwa anak-anak muda. Sayu sahabat, melihat para syabab ‘tersungkur’ di kaki kemodenan. Mengagungkan ciptaan manusia daripada mengagungkan Allah yang Esa. Sedangkan bila dilihat semula, ciptaan manusia tidaklah begitu sempurna. Bahkan mempunyai banyak kelemahan.” “Kalau kamu mahu sangat akan semangat Abu Hafs dan keberanian Saifullah, saya sarankan kamu ikut golongan mujahidin di Palestin, Syria, Mesir, Libya, Afghanistan dan  Rohingya.” “Perang? Ya saya memang ada menyimpan hasrat untuk ke sana, namun belum masanya lagi.” “Kenapa? Kamu takut?” “Bukan takut sahabat. Namun, berperang sendirian tidak akan memberi kemenangan yang hakiki. Apabila setiap kaum muslimin bergabung tenaga dan usaha, barulah Islam boleh dikembalikan semula.” “Maksud kamu?” “Untuk melahirkan generasi yang ‘hebat’ secara fizikal dan mental, kita perlu mengembalikan dan meghidupkan cara hidup Islam. Kembali kepada fitrah.” “Saya kurang faham.” “Sebagai contoh, tidak ada gunanya kita mengatakan betapa bahayanya api yang marak kepada orang yang sedang tidur berdekatan dengan api tersebut, melainkan dengan mengejutkannya sebelum memberinya peringatan. Perjuangan ini tidak dapat difahami dengan sepintas lalu sahabat. Istiqamahlah. Insya Allah sahabat akan memahaminya.” “Perjuangan lebih mudah difahami dengan mengalaminya sendiri. Bukan begitu?” “Tepat sekali sahabatku.” “Tambahan pula, Al-Quran juga ada menyebut bahawa, tidak semuanya harus pergi berperang. Sebahagian pergi berperang, sebahagian pula mempertahankan kota ataupun keluar mencari ilmu.”

“Hmm. Kamu tahu bukan? Bahawa saya juga pernah berjuang seperti kamu. Namun, saya terhenti di pertengahan jalan.” Senyap dan hanya bunyi keluhan kedengaran. “Mungkin sahabat masih ingat tentang kandungan buku yang sahabat kupas untuk kami dahulu.” “Buku yang mana satu?” Persoalan diutarakan dengan sedikit tersekat. Muka berona merah tanda malu kerana tidak mengamalkan apa yang diajar. “Buku Ustaz Fathi Yakan. ‘Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah.” “Apa yang ada di dalam buku tersebut?” “Hmm, salah satunya adalah dugaan yang sering dihadapi oleh para pendakwah.” “Contohnya?” “Contohnya, orang mukmin yang dengki, orang munafiq yang membenci, orang kafir yang mahu memerangi, syaitan yang ingin menyesatkan dan nafsu yang sentiasa bertarung dengan diri.” “Lanjutkan.” “Sahabat mungkin terhenti kerana dugaan yang sahabat hadapi. Namun, ingatlah sahabat, bahawa Allah tidak akan membebankan hamba-Nya. Apa yang kita hadapi itu adalah setimpal dengan kekuatan kita. Bukankah ujian itu untuk melihat setinggi mana nilainya keimanan kita terhadap Allah SWT.” “Manusia kadang kala akan lemah.” “Sebab itulah kita tidak boleh hanya bergantung pada semangat. Kefahaman tentang perjuangan itu juga perlu.” “Bagaimana?” “Bukankah sahabat juga yang pernah menasihati untuk lebih rajin mengkaji Sirah nubuwwah?” “Dengan membaca kisah perjuangan para anbiya’ dan golongan tabi’ tabi’in, kita akan lebih gigih untuk menegakkan semula kalimah Allah. Ada baiknya jika sahabat turut sama menyumbang tenaga untuk mengembalikan Islam.” “Wujudkah kesempatan itu?” “Duhai sahabat. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” “Akan lahirkah khalifah di zaman ini?” “Kita boleh usahakannya. Bermula dengan dakwah.” “Jika khalifah itu bukan untuk generasi kita? “Sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk ke arah itu.”

“Sungguh duhai sahabatku. Kita sememangnya sedia maklum tentang kepentingan jihad dalam kehidupan. Namun kita tidak sedar, kerana kita telah ‘dibutakan’ dengan pelbagai keasyikan dunia.” “Benar apa yang kamu katakan sebentar tadi. Sedangkan, jika dicelikkan ‘mata  hati’, kita pasti akan lebih mendambakan syurga yang abadi.” “Benar sahabatku. Adakah sahabat bersedia untuk kembali ke medan jihad?” “Bi iznillah. Dengan izin Allah. Terima kasih kerana sudi menyedarkan saya.” “Memang sudah tanggungjawab duhai sahabatku. Bukankah kita ini sememangnya saudara seIslam. Saling tolong-menolong.”

“Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, teman sejawat, orang yang berjalan jauh, dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan bangga diri.”

“Perjuangan itu lebih manis dirasa, jika wujud insan yang saling mengasihi kerana Allah. Mungkin hari ini, giliran saya untuk membantu. Dikemudian hari pula, giliran sahabat untuk membantu saya. Bukankah ingat-mengingati itu tugas seorang dai’e?” “Banyak sungguh perkara yang telah saya abaikan, bahkan ada yang dilupakan. Sungguh nikmat dunia itu selalu membutakan mata hati dan melemahkan iman.” “Tiada manusia yang sempurna, wahai sahabatku.” “Tentang pergaulan yang saya sebutkan pada awal perbualan. Perasaan yang berbeza terhadap rakan sejawat. Adakah cara yang sesuai untuk menanganinya?” “Lumrah manusia memiliki perasaan kasih sayang. Namun, kita perlu bijak. Caranya mudah, jika berkemampuan. Sahabat luahkan dan usahakan untuk mengikat tali perhubungan yang halal. Jika tidak mampu, elakkan.” “Bukan mudah untuk dilakukan.” “Benar, namun jika ada niat yang baik. Insya Allah dimudahkan.” “Utamakan yang utama?” “Ya, perjuangan didahulukan.” “Perjumpaan ini membawa angin perubahan yang lebih ‘hebat’.” “Tidak sehebat dengan apa yang sahabat lakukan kepada saya dan beberapa sahabat yang lain. Kami rindukan dan dambakan ilmu daripada sahabat. Kata-kata yang penuh makna. Falsafah yang hebat. Kepetahan berbicara yang mantap. Kami rindukan naqib yang berwibawa.” “Tanggungjawab, amanah yang diabaikan.” “Manusia adakalnya lalai. Namun, boleh diperbaiki.” “Dengan istiqamah.” “Dengan kesabaran.” “Dan dengan keikhlasan terhadap Allah.” “Ihsan yang tertinggi.”

“Terima kasih sahabatku, kerana menyedarkan diri yang alpa. Dirimu telah berjaya untuk menjadi qudwatun hasanah (contoh terbaik). “Masih jauh lagi perjalanan hidup ini duhai sahabat. Segala kebaikan itu, kita kembalikan kepada Pemilik yang Esa. Hanya Dia sebaik-baik perancang.” “Ya perjalanan masih jauh. Perjuangan juga masih jauh.” Perbualan terhenti. Masing-masing merenung langit yang membiru. Terdetik di hati, “Mungkinkah gerakan Islam akan kembali aktif?” Hanya masa dan golongan syabab yang akan menentukannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...