Assalammualaikum wrh. Dah lama dah blog tidak dikemaskini. Pertama
sekali, KA ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Sewaktu tiada
idea, KA sempat menjenguk blog-blog sahabat & sahabiah, Alhamdulillah dapat
banyak input berguna. Kerap hati diketuk dengan hentakan keinsafan, semangat
dan juga wawasan. Teringat pesanan senior, “Dalam perjuangan ini, akan ada pelbagai
mehna dan tribulasi (cabaran dan halangan). Sebab itu, kita jangan terlalu
bergantung pada semangat kerana semangat itu ada jatuh dan naiknya. Cuba bayangkan,
disaat tenaga dan mentaliti diperlukan, dan pada saat itu juga semangat kita
jatuh merudum, maka tiada apa yang dapat disumbangkan. Jadi apa yang diperlukan
dalam perjuangan adalah ilmu. Insan yang tahu tentang kepentingan jihad, tidak
akan pernah berputus asa walaupun diuji dengan ujian yang berat, sebaliknya
insan tersebut akan menghadapi ujian itu dengan senyuman kerana dia mempunyai
ilmu. Oleh itu, penuhkan dada dengan ilmu. Tidak lengkap iman tanpa ilmu. Kerahkan
diri untuk mengutip ilmu Allah di dunia ini.” Maknanya, dalam apa jua pekerjaan
yang dilaksanakan, kita tidak boleh terlalu bergantung pada semangat sahaja, tetapi apabila kita tahu akan kepentingan sesuatu perkara itu, secara automatiknya kita akan terus bergerak ke hadapan meskipun semangat itu kurang.
Cerita tentang jihad (bersungguh-sungguh) ni pula, teringat
tentang satu petikan yang terdapat di dalam novel “Suamiku Seorang Ustaz”.
Petikan tu lebih kurang seperti ini, “Pastikan apa yang kita lihat dalam drama
itu membawa manfaat untuk Islam. Ambil pengajaran yang berguna. Jangan tengok
untuk sia-sia sahaja.” Apa kaitannya dengan bersungguh-sungguh? KA ingin
bertanya, pembaca pernah melihat anime ataupun kartun yang mengisahkan tentang
adiwira (superheroes)? Mesti pernahkan? Apa yang dapat anda simpulkan apabila
melihat adiwira tersebut bersungguh-sungguh melawan kejahatan? Sebab itu memang
tugas adiwira? Ya, memang benar, tetapi sebab yang utama adalah mereka
merasakan apa yang mereka lakukan (melawan penjahat) adalah perkara yang betul,
sebab itulah mereka membuatnya dengan bersungguh-sungguh. Sama juga dengan para
dai’e (pendakwah), bila kita tahu tugas berdakwah itu adalah benar, kita perlu
mempertahankannya (lakukannya) dengan bersungguh-sungguh. Bila jadi pendakwah
pula, memang kita akan diuji dari pelbagai sudut, panggilan dunia bahkan
membuatkan manusia mudah hanyut hingga lupa dengan tanggungjawab sebagai khalifah
dan juga hamba Allah. Sebab itulah, mereka yang sedar perlu mengejutkan mereka
yang ‘terlena’ dengan dunia. Seperti pesanan Ustaz Fathi Yakan, “Teramat
mustahil untuk menyelamatkan orang yang tidur berdekatan dengan api yang marak
melainkan dengan mengejutkan mereka lalu menyedarkan mereka betapa bahayanya
api yang marak itu.” (Pendakwah kena menasihati manusia yang lalai, menyedarkan
mereka dengan tanggungjawab yang dipikul). Sekurang-kurangnya kita sudah
berusaha untuk menasihati mereka, selebihnya serahkan kepada Allah.
Kesimpulannya, walaupun kita melihat anime, kartun, drama, telefilem ataupun varieti show, pastikan kita mengutip hikmah yang terkandung di dalamnya. Sama ada negatif ataupun positif. Bagaimana mahu mengambil pengajaran daripada benda yang negatif? Mudah sahaja, jangan lakukan perkara yang negatif. Contohnya, apabila KA melihat drama Jepun, kebanyakan skrip itu adalah kata-kata yang negatif (taboo words). Kadangkala, si anak akan menyumpah ayahnya, "Baka oyaji". Apabila kita melihat scene sebegini, jangan pula amalkan (itulah yang patut kita lakukan apabila melihat atau mendengar perkara negatif). Pengajaran yang positif pula, kita amalkan. Contohnya, dalam cerita anime, mesej persahabatan lebih banyak ditonjolkan. Dalam Islam sendiri menganjurkan kita untuk mengeratkan silaturrahim, oleh itu terapkanlah amalan ini dalam hidup seharian. Mudah bukan? Jadi pendakwah ni, bukannya hanya dalam masa, tempat ataupun zaman tertentu sahaja tetapi adalah selama 24 jam,setiap bulan, tahun bahkan sepanjang hayat. Tidak susah pun, adaptasikan diri dengan alaf modenisasi. Sekarang adalah zaman teknologi, variasikan cara dakwah anda. Dari alam realiti ke alam maya.
Anda hebat berpidato, berforum, bercerita, menyanyi, berlakon, berpuisi, bersajak, berpantun, menulis dan banyak lagi? Jangan sia-siakan bakat anda, gunakannya untuk Islam. Gunakan bakat anda semaksima dan sebaik yang mungkin demi dan untuk Islam tercinta.